Assalamualaikum & Salam Sejahtera
Alhamdulillah, kesedaran menyusukan bayi
telah meningkat di seluruh dunia amnya & di Malaysia khususnya.
Namun, masih ramai yang tertanya-tanya kenapa bertegas untuk memberikan
susu ibu, susah payah mencari milk booster, berhabis wang mencari pum terbaik dan bersungguh-sungguh bangun seawal subuh semata-mata untuk melakukan power pumping.
Bukankah lebih mudah diberi sahaja susu formula? Jimat masa & tenaga
si ibu, bukan? Saya ada beberapa orang kenalan yang mulanya memberi
susu ibu kerana ingin berjimat. Setelah mengetahui kebaikan susu ibu
yang sungguh hebat, mereka masih memilih menyusui anak seterusnya
walaupun hidup tidak sesempit dahulu. Mari kita baca artikel yang saya
petik dari momschoice.com, kenapa kita perlu bertegas untuk hanya susu ibu, bukan susu formula :)
Senarai risiko penyakit/masalah yang mungkin dihadapi oleh bayi yang tidak diberi susu ibu hasil kajian pakar:
1. Perkembangan kognitif dan kecerdasan.
Perkembangan otak bayi belum sempurna sebaik dilahirkan, malah
pembentukan dan perhubungan sel-sel saraf berkembang pesat dalam 3 tahun
pertama hayatnya. Apabila proses ini selesai, sel otak boleh mati namun
tidak akan berganti. Susu ibu yang memang khusus untuk bayi manusia
mengandungi semua nutrien yang diperlukan untuk perkembangan otak bayi
untuk mencapai potensi maksimum.
Sebaliknya susu formula tidak mengandungi semua nutrien tersebut. Kajian
menunjukkan bahawa kanak-kanak yang diberi susu ibu ketika bayi
menunjukkan skor yang tinggi dalam ujian kepintaran.
Para pengkaji juga mendapati kanak-kanak yang minum susu ibu dalam jangka waktu lama menunjukkan skor kepintaran yang lebih tinggi berbanding kanak-kanak yang minum susu ibu dalam jangka masa singkat.
2. Diabetes.
Diabetes jenis I (yang diwarisi secara genetik) biasa dikesan di kalangan kanak-kanak . Kajian ke atas kanak-kanak
yang tidak diberi susu formula (sekurang-kurangnya sehingga umurnya 1
tahun) mendapati bahawa kanak-kanak tersebut mempunyai kebarangkalian
lebih rendah untuk menghidap diabetes.
3. SIDS (Sudden Infant Death Syndrome)
SIDS ialah situasi kematian mengejut bayi, biasanya ketika tidur. Tidak
diketahui penyebab terjadinya kematian begini. Namun begitu kajian
menunjukkan bayi yang diberi susu formula lebih tinggi risiko terjadinya
SIDS.
4. Masalah pernafasan.
Peningkatan penyakit asma di kalangan kanak-kanak amat ketara pada masa
sekarang. Tidak dinafikan faktor persekitaran menyumbang kepada
peningkatan tersebut termasuk pendedahan kepada pencemaran udara dan
pertambahan bilangan kanak-kanak di nurseri, tadika serta pusat jagaan
mendorong pendedahan kepada virus pada usia muda.
Kajian menunjukkan pemberian
susu formula kepada bayi meningkatkan risiko kepada asma dan juga
masalah pernafasan lain seperti respiratory syncytial virus (RSV). Kanak-kanak ini juga lambat sembuh berbanding kanak-kanak yang diberi susu ibu.
5. Jangkitan telinga.
Jangkitan telinga agak biasa terjadi di kalangan kanak-kanak. Kajian
mendapati risiko terjadinya otitis media (jangkitan telinga) lebih
tinggi di kalangan kanak-kanak yang diberi susu formula.
Jangkitan telinga sangat sakit bagi bayi/kanak-kanak dan boleh menyebabkan komplikasi lain – pengumpulan
cecair di dalam telinga dalam jangka masa yang lama akibat jangkitan
itu boleh menyebabkan masalah pendengaran dan perkembangan pertuturan
pada kanak-kanak tersebut.
6. Kanser.
Kajian mendapati kanak-kanak kecil yang minum susu formula mempunyai risiko lebih tinggi menghidap kanser pada usia mudanya.
7. Jangkitan saluran pencernaan.
Tidak dapat dinafikan masalah sistem pencernaan berkait rapat dengan apa yang dimakan. Pemberian susu formula meningkatkan risiko terhadap cirit birit dan lebih buruk lagi mengalami fasa penyembuhan yang perlahan.
Ini adalah kerana apabila bayi mengalami cirit birit dan muntah-muntah,
doktor selalu menasihatkan supaya mengurangkan pemberian susu formula
dan banyakkan minum air (untuk mengelakkan kekontangan). Kurang menyusu
bermakna kurang nutrien diperoleh bayi.
Sebaliknya bayi yang minum susu ibu masih boleh terus menyusu. Oleh itu
bayi akan mendapat nutrien yang cukup dan juga antibodi yang akan
membantunya membunuh kuman yang menyebabkan jangkitan pada saluran
pencernaannya. Bayi yang minum susu ibu juga jarang-jarang mengalami
sembelit sebaliknya bayi yang minum susu formula sering mengalami
masalah pembuangan air besar.
8. Keberkesanan vaksin.
Pemberian susu formula mengurangkan keberkesanan pemvaksinan dengan
mengurangkan respon bayi terhadap penghasilan antibodi di dalam badan.
Sebaliknya bayi yang minum susu ibu memberi respon yang baik kepada pemvaksinan dan menghasilkan lebih banyak antibodi di dalam badannya.
(Catatan peribadi: pemvaksinan ialah kaedah imunisasi dengan cara
menyuntik vaksin ke dalam badan. Suntikan vaksin akan merangsang sel
darah putih menghasilkan antibodi untuk melindungi badan daripada
jangkitan penyakit.)
9. Perkembangan rahang dan otot muka.
Adakah anda menyedari bahawa teknik hisapan bayi yang minum melalui
botol (susu formula) berbeza dengan bayi yang minum susu ibu daripada
payudara ibunya? Sesetengah orang mengakui bahawa bayi yang minum susu
ibu dapat dikenal melalui pipinya yang cantik membulat!
Perkembangan rahang, otot muka dan pipi ini akan ketara kepentingannya
apabila bayi ini membesar menjadi kanak-kanak nanti kerana bayi yang
minum susu ibu apabila besar kelak kurang memerlukan rawatan pergigian
berbanding kanak-kanak yang minum susu formula.
Penyusuan ibu menjadikan pembentukan
rahang dan otot muka terbentuk dengan baik dan seterusnya menghasilkan
rahang yang cantik dan gigi yang tersusun rapi.
10. Obesiti
Bayi yang minum susu formula juga terdedah kepada masalah obesiti (kegemukan) pada usia muda (kanak-kanak dan remaja).
lebih menyedihkan, selain dari 10 masalah yang disenaraikan, banyak lagi
masalah kesihatan lain yang boleh berlaku apabila bayi tidak diberi
susu ibu dan diganti dengan permberian susu formula. Ini termasuk eczema, masalah jantung, alergi, kolik, meningitis dan sebagainya.
Para suami, ibu bapa & keluarga mertua sepatutnya menyokong niat suci ibu untuk menyusukan bayinya. Sokongan sekeliling menjadikan
proses ini lebih mudah & lancar. Susu ibu diciptakan spesifik untuk
tiap-tiap bayi di dunia, mengandungi semua yang terbaik untuknya, tiada
gantian dari manusia yang menyamai ciptaanNya :)
;-)
Sumber: The Ultimate Breastfeeding Book of Answer, by Jack Newman M.D and Teresa Pitman.








No comments:
Post a Comment